Friday, October 14, 2011

Mendamaikan Hati

Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.Setiap kesilapan itu seharusnya menjadi titik tolak ke arah yang lebih baik.Kita hanya ada dua pilihan samada untuk terus membuat kesilapan demi kesilapan atau cuba membetulkan kesilapan yang lalu.Carilah kedamaian hati dengan memberi kemaafan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Andainya dosa yang kita lakukan itu kepada Allah maka berdoalah dan bertaubatlah kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Setiap perbuatan itu samada kecil atau besar ketahuilah bahawa sesungguhnya ianya adalah dalam pengetahuan Allah.Jadilah hambaNya yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.Mudah-mudahan Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita.Sentiasalah berdoa supaya di damaikan hati dengan kasih sayang Allah.Berdoalah dengan hati yang penuh pengharapan.Sesungguhnya Allah itu mendengar setiap permintaan hambaNya.

Andai kesilapan itu kita lakukan sesama makhluk maka mulakanlah dengan memaafkan diri sendiri dan mereka yang pernah menganiayai kita.Memang mudah untuk memaafkan tetapi untuk melupakan adalah sesuatu yang lebih besar.Dari itu damaikanlah hati kita dengan memberi kemaafan dan seterusnya melupakan perselisihan silam.Kembalilah kita pada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.Mudah-mudahan Allah melihat titik perubahan ini sebagai satu hijrah kita ke arah yang lebih baik.

Marilah kita hidup dengan hati yang tenang dan damai dari perselisihan silam.Marilah kita mulakan satu titik tolak ke arah persaudaraan Islam yang lebih indah.Islam itu indah dan andainya kita selami keindahan Islam itu maka kita akan merasai kenikmatan dalam setiap ibadat yang kita lakukan.Hati yang damai akan sentiasa dekat dengan penciptaNya.Hati yang damai akan sentiasa mendambakan rindu kepada kasih sayang Allah.

Ya Allah, jadikanlah orang lain sentiasa memandang tinggi kepadaku tetapi aku sentiasa merendah diri dihadapanMu.Ampunilah aku dan seluruh ahli keluargaku.Sesungguhnya kemaafanMu itu adalah lebih tinggi dari kemurkaanMu.Amin.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

Post a Comment